Rezeki di celah kemalapan malam

 

“Kesiannya Ba, dia orang tu malam-malam raya macam ni pun kena kerja lagi ke ?” Kak Cik dengan nada sedihnya mencelah kebisuan kami semasa dalam perjalanan balik dari Pasar Borong Wakaf Che Yeh malam raya baru-baru ini.

 “Dah kerja dia orang Cik. Kalau dia orang tak angkat sampah tu, bertimbun lagi lah esoknya. Tentu busuk dan menganggu keselesaan orang nak beraya” Ummi Khaulah memberi respon selambanya.

 “Tapi besar pahala dia orang tu. Kerja tak glamor pun rezkinya halal dan mendatangkan manfaat yang amat besar kepada orang lain. Kalau dia orang tak angkut sampah tu, alamat busuk habis la kat area situ. Semua orang boleh buat kerja tu, tapi sebenarnya berapa orang sangat yang sanggup buat dan bersengkang mata malam-malam raya gini. Kerja dia orang ni pada Abe, jauh lebih mulia dari kerja para artis yang duk melalak dengan mendedah aurat dan bergaul tanpa batas  menyambut raya” Macam bersyarah pulak Abe Khalis kepada adik-adiknya.

 Kereta kami terus meredah malam yang dingin menghampiri Dewan Beta meninggalkan sekumpulan pekerja-pekerja Majlis Daerah Ketereh yang bertungkus lumus memunggahkan sampah-sampah yang dikumpul di tepi-tepi jalan untuk dimasukkan ke dalam lori majlis yang sedang menanti.

 Limabelas minit kemudian, tepat jam 12.30 malam, kami selamat sampai ke rumah Mak di Serendah. Sewaktu menengguk segelas oren membasah tekak, tetiba wajah berpeluh sahabat-sahabat pekerja Majlis Daerah Ketereh tadi menerpa hati saya. Yang pasti, mereka tentu belum selesai dengan tugas-tugas murni mereka itu. Semoga Allah memberkati hidup kalian.

 

Sabda Rasulullah saw : Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia menyayangi saudaranya sama seperti dia menyayangi dirinya sendiri. (Muttafaq ’alahi)

 70. dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). tidak ada baginya Pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya). (al-an’am)

Menanti Ganjaran Ilahi

94. mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, Sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) Dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara Kami Dengan mereka?”

95. Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) Yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku Dengan tenaga (kamu beramai-ramai) Aku akan bina antara kamu Dengan mereka sebuah tembok penutup Yang kukuh. (surah al Kahfi)

 

 Menyedari bahawa upah dan ganjaran yang dikurniakan Allah kepada kita itu adalah lebih besar nilainya dari apa yang dijanjikan dan diberikan oleh manusia kepada kita hasil dari usaha kita kepada mereka, adalah merupakan pegangan hidup yang amat perlu difahami secara benar.

 Sesiapapun manusia yang menjadi majikan kita, atau pemberi manfaat duniawi kepada kita, walau sebesar manapun manfaat atau ganjaran yang mereka datangkan kepada kita, namun ianya tetap tidak meyamai besarnya kurniaan yang dijanjikan Allah kepada kita. Besar manapun gaji, keuntungan, pangkat atau darjat yang kita nikmati di dunia ini pastinya tidak akan mampu menandingi nikmat Allah di syurgaNya.

 Kita sebagai pekerja, samada sebagai guru, kerani, pegawai, ahli professional, petani dan sebagainya, sebenarnya melakukan amalan yang soleh dengan pekerjaan kita itu. Kita seharusnya sedar bahawa pahala dan ganjaran melakukan amal yang soleh di sisi Allah itu jauh lebih besar dari ganjaran atau keuntungan berbentuk wang ringgit atau pangkat atau pujian manusia yang kita peroleh di muka bumi ini.

 Jika kita sedar bahawa ganjaran dari Allah itu lebih utama dari ganjaran manusia, maka tentunya  objektif dan fokus utama kita dalam melakukan amal itu ialah berusaha untuk memastikan bahawa kita tidak akan terlepas untuk mendapat nikmat besar dari Allah. Justeru itu, setiap amal kita hendaklah kita sempurnakan sesuai dengan kehendak Allah supaya ganjaran Allah yang lebih besar dari ganjaran yang diberi oleh manusia itu dapat kita raih sebaik mungkin.

 Yang nyata, kita tidak akan mengutamakan ganjaran manusia yang tidak seberapa itu berbanding dengan ganjaran dari Allah yang amat besar kepada kita. Kita tidak akan korbankan ganjaran Allah senata-mata hendak mengejar ganjaran duniawi yang serba kecil dan kurang. Kita juga pastinya tidak akan tunduk kepada kehendak si pemberi ganjaran dunia sekiranya kehendak itu bakal menyebabkan kita meyanggahi kehendak Allah dan sekaligus menyebabkan kita kehilangan ganjaran besar dari Allah.

 3. orang-orang Yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang Yang terjerumus ke Dalam kesesatan Yang jauh terpesongnya. (surah Ibrahim)

Selamat Menyambut Kemerdekaan

Sebuah Kemerdekaan Yang Hakiki

 

 

Zaman berganti zaman

Dendangan citra orang merdeka

Tidak pernah padam

Di dada bulan dan di wajah bintang-bintang

Di lembaran langit yang terbentang

Tafsir kebebasan terukir panjang

Melakar nostalgia

sejarah kemerdekaan

 

Musa dengan tauratnya

Membelah lautan

Mempusarakan kezaliman

Memacu merdeka  bangsanya

 

Noh dengan bahtera imannya

Meredah ganasnya gelombang

Membawa merdeka

Nenek moyang kita

 

Ibrahim dan Ismail

Memancang tugu keimanan

Merdeka

Kiblat kita

 

Bulan dan bintang itu

Pasti menjadi saksi

Langit luas terbentang itu

Pasti menjadi saksi

Tatkala Muhammad bin Abdillah

Turun dari gua Hira’

Dengan kalam keramat di tangannya

Kalimah  suci di bibirnya

‘izzah membara di kalbunya

Bangkit

Menyelusuri pahit getir denai perjuangan

Merenangi darah dan airmata

Meniti duka lara dan nestapa

Mencerna makna dan nafas merdeka

Untuk kita

Manusia seutuhnya

 

Muhammad bin Abdillah

Di tangan nya manusia kecapi makna merdeka

Merdeka dari belenggu perhambaan sesama makhluk

Merdeka dari cengkaman kezaliman para penguasa

Merdeka dari gelapnya penjara kejahilan

Merdeka dari sempitnya himpitan dunia

Merdeka dari dimamah kerakusan si kaya

Merdeka dari tengelam di laut sesalan si papa

Merdeka dari kemabukan si penyair yang lupa dirinya

Merdeka dari kefanaan nafsu yang bergelora

 

Muhammad bin Abdillah

Meskipun kini ia telah tenang bersemadi di sisi al- Latiff

Namun perjuangannya

Membawa makna dan nafas merdeka

Tidak pernah bersemadi di mana-mana

Ia tetap hidup

Tetap membara

Memperkasa setiap jiwa

 

Tuhanku

Betapa kerdilnya aku

Di laman perjuangan ini

Di celah himpitan dan persimpangan

Antara sesuap nasi dan kedudukan diri

Dalam mencari makna perjuangan dan harga diri

 

Tuhanku

Kemanakah kan ku bawa diri

Ke gunung yang sepi

Atau ke lembah yang sunyi

Membawa rasa malu ini

 

Tuhanku

Suatu hari nanti

Pasti aku kan datang kepadaMu

Mengemis di hamparan kasih sayangMu

Di celah hiruk pikuk manusia

Mencari damai sejati

Sebuah kemerdekaan yang hakiki

Kambing oh Kambing

Saya dikhabarkan oleh berita-berita utama negara perihal PM sibuk mengagihkan ribuan ekor kambing kepada para penternak dan bakal penternak, khususnya di negeri Pahang. Bila timbul cerita kambing ini, terasa terpanggil pulak untuk merenung sejenak tentang makhluk Allah ini, yang dagingnya direncahkan sebegitu rupa oleh ahki Jumali, si penjual sup di warung Markas PAS, sehingga aroma keenakkan sup kambingnya  tersohor ke seantero negeri Darul Ta’zhim ini. (takzim)

 Perihal kambing ini sebenarnya mempunyai nilai sejarah dan iktibar tersendiri yang agak istimewa dalam kehidupan manusia. Al Quran membawa kisah kaitan para anbiya’ dengan makhluk bergelar kambing. Contohnya kisah nabi Allah Musa as, yang pernah menyara hidup dengan menternak dan mengembala kambing. Begitu juga dengan Rasulullah saw sendiri, yang sebahgian kehidupan remajanya diisi dengan kerjaya mengembala kambing. Para ulama’ dan sejarawan Islam banyak mengupas pengiktibaran dari ketentuan dan sunnah Allah ini. Ramai yang menyebut, betapa usaha menternak dan juga gembalaan kambing ini memberi impak besar kepada budaya, emosi dan pemikiran bagi mereka yang terlibat. Antara rumus mereka ialah bahawa mengembala kambing mendidik untuk menjadikan kita sabar, tenang, bijak, redha, syukur, melatih kukuh ingatan, tafakur, menguasai sains haiwan, berjiwa merdeka, berjiwa pemimpin dan sebaginya lagi.

 Amat beruntung sebenarnya mereka yang dianugerahkan Allah dengan perkerjaan mengurus kambing ini. Bukan hanya mampu menjana pendapatan dan juga pahala, malah dalam masa yang sama terdedah kepada tazkirah yang besar maknanya bagi manusia, yang dizahirkan oleh Allah melalui sunnah kehidupan para kambing.

 Tiba-tiba, saya terkenangkan seseorang yang bernama Tsa’labah. Manusia bernama Tsa’labah ini juga ada ceritanya tersendiri dengan para kambing. Tsa’labah yang pada asalnya merupakan hamba Allah yang taat, mengakhiri hidupnya dengan menjadi hamba kepada kambing. ( Kami berlindung kepada Mu ya Allah )

 Allah menciptakan kambing untuk kita supaya kita mengambil manfaat yang baik darinya. Jangan pula kerana para kambing ini kita lupa pada Allah lalu menjatuhkan darjat kita dengan mewartakan diri kita menjadi hamba kambing. Bertambah jangan lagi, kalau kita turut mejadi hamba kepada manusia yang mempawahkan kambing itu pada kita. Justeru kerana kambing itu datang dari manusia itu, maka kita ingat dan yakin pula bahawa segala yang berasal dari kambing tu datang nya dari manusia tersebut.

 Islam mengajar kita agar berterima kasih kepada seseorang yang memberikan kebaikan kepada kita. Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada orang yang berbudi kepadanya, sebenarnya ia tidak berterima kasih kepada Allah. Tetapi ini tidak bermakna kita boleh merelakan diri kita menjadi hamba kepada yang lain selain dari Allah.

 Bagi mereka yang kerjayanya berpusat pada kambing, maka para kambing itulah ujian Allah bagi mereka. Adapun bagi kita yang kerjanya makan gaji macam saya , barangkali yang boleh dianalogikan dengan kambing itu ialah pangkat atau kedudukan atau imbuhan wang ringgit itu pulalah ujian untuk kita.

  Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu. (Al-Mukminun 21)

  Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).  (Ali Imran 14)

  Atau adakah Engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (Apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.  (Al Furqan 44)

Limau Nipis

Seminggu sekali, ummu Khaulah akan memetik buah limau nipis dari pohon di belakang rumah kami untuk kegunaan urusan dapurnya atau seringkali juga untuk dihadiahkan kepada teman-teman usrahnya. Pohon limau nipis ini subur. Dahan dan daunnya merimbun dan berbuah lebat. AlhamdulilLah, pohon yang ditanam sendiri oleh tangan Khaulah 3 tahun yang lalu ini telah menjadi sumber bagi umminya menjana pahala sedekah.

 Buah limau nipis amat masam rasanya. Kita hanya boleh manfaatkannya jika kita tahu ‘mengurus’ kemasaman buah ini secara baik.  Budu, cencaluk, tempoyak, sambal belacan, sup dan lain-lain yang seumpamanya, akan menjadi lebih lazat jika ditambah perahan jus limau ini secara secukup rasa. Apatah lagi jika diperah untuk teh atau sirap ais, atau diperah ke dalam air kosong dan dibancuh sedikit gula sebagai pemanis. Limau nipis yang pada asal dan secara aslinya bersifat kelat dan masam itu nampaknya sudah mampu menjadi penyumbang kepada keenakan dan kelazatan yang mengiurkan.

 Kata orang, bila hidup kita ditimpa kemasaman atau kepahitan, kita kena belajar untuk mengurusnya sebaik mungkin, sama seperti kita mengurus kemasaman limau nipis tadi. Yang pahit, kelat dan masam itu, jika diurus sebaiknya, kemasaman atau kekelatan boleh bertukar menjadi manis dan melazatkan.

لَتُبۡلَوُنَّ فِىٓ أَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِڪُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِڪُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذً۬ى كَثِيرً۬ا‌ۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).  Al Maidah 186

Infaq di Jalan Allah

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ

أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬‌ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

 

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.  (al Hasyr 9)

Tok Ngah Hj Ya adalah sepupu ibu saya. Isterinya saya panggil Tok Ngah Esah. Saya tidak berapa ingat umur Tok Ngah Ya, yang saya diberitahu, umur isterinya sebaya Ibu saya. Tok Ngah Ya menetap di Kg Slow Mengkuang, dekat Laloh. Boleh tahan juga pendalamannya tempat itu. ( Slow : merujuk kepada stesen keretapi di mana keretapi hanya memperlahankan gerabaknya ketika melalui stesen tersebut). Tok Ngah Ya mempunyai tiga orang anak. Dua lelaki, kedua-keduanya bekerja di Kuala Lumpur dan seorang lagi perempuan, menetap bersama suami bersebelahan rumah keluarganya.

 Tok Ngah Ya, samalah macam orang sekampungnya, mencari sesuap nasi dengan menoreh getah. Setahu saya kebun getahnya seluas 10 ekar, termasuk tapak rumah dan tanaman buah-buahan. Seperti biasa, rutin harian Tok Ngah Ya ialah bangun sebelum subuh. Membersihkan diri di telaga belakang rumah dan bersedia untuk mengimamkan solat subuh di surau yang sepelaung dari rumahnya. Selepas solat, Tok Ngah Ya dengan diiringi oleh bininya yang setia, meredah embun pagi mengutip rezeki di pangkal pokok getah. Itupun kalau tidak hujan. Kalau hujan, tentunya tidak menorehlah Tok Ngah Ya hari itu.

 Suatu masa dulu, saya datang menziarahi orang tua ini di kampongnya. Sewaktu saya sekeluarga sampai ke rumahnya, Tok Ngah Ya dan isterinya sedang sibuk mengurus jualan getahnya dengan pemborong yang dating membeli getah.

 ‘Ni hok ghian (bahagian) Tok Ngah.. ni pulok hok ghian PAS’, Kata pemborong getah  sambil tangannya menghulur dua gulung wang kertas kepada Tok Ngah Ya.

 Tidak lama selepas itu, baru saya tahu apa maksud ‘hok ghian PAS’ itu.

 Rupa-rupanya dalam sebulan, Tok Ngah Ya akan menoreh secara khusus satu hari semata-mata untuk PAS. Jadi semua hasil yang diperolehi pada hari tersebut, Tok Ngah Ya akan derma kepada PAS.

 Tok Ngah Ya tak perlu berceramah berjam-jam dengan puluhan slide untuk memahamkan saya erti pengorbanan dan infaq dalam perjuangan. Mulai hari itu, saya belajar menconggak berapa gaji saya sehari. Dan yang lebih penting, saya patut kerap bertanya, berapa infaq saya bulan ini untuk jamaah. Allah sahajalah Yang Maha Tahu, betapa kekadang bila saya terkenangkan Tok Ngah Ya yang jauh di pendalaman itu, saya merasa amat malu pada diri sendiri.

Peraih Ikan

Sewaktu balik untuk menjamah hidangan tengah hari tu, belum sempat saya melangkah masuk ke rumah, ummu Khaulah yang kebetulan membuka pintu dah mula mengomel.

 ‘apa la wak juki nih…. Ikut sedap dia jah nok niago ko tidok. Kadang-kadang bawa ikan, kadang-kadang tak…hari ni dia datang sekor ikan pun tak dok…’

 ‘Dia jual gapo jah hari ni ?’

 ‘Dio bawok sayur dengan tempe je……itupun kangkung yang dah kecut…’

 Tengah hari tu saya makan nasi berlauk masak lemak telur, telor goreng sambal dan sayur air kangkong…… oklah tu. Sedap dan berselera juga. Alhamdullillah.

 ii

 Wak Juki, beliau adalah penjual ikan dan lain-lain keperluan dapur harian di kampung kami. Dia bawa barang dagangannya dengan motor roda tiga. Dia paling popular di kalangan suri rumah kampung ni, termasuk ummu Khaulah. Kalau dia lambat datang semua orang dah resah. Kalau dia tak dapat berniaga, semua dah mengelabah.

 Baru-baru ni Wak Juki, jawa totok itu pun mengamuk.

 ‘Celaka punya UMNO. Sanggup puak-puak tu hina orang menjual ikan macam aku. Bukan orang berniaga ikan kat Manik Urai je yang terhina, aku kat sini pun terasa. Kalau tak ada orang yang berniaga macam aku nih, tentu susah orang macam kau semua nak makan ikan… bla…bla…bla…..’

 Membara hujah Wak Juki meluahkan amarah politiknya kepada tujuh lapan orang pembeli ikan yang mengerumuni motornya. Ada yang ketawa dan mengangguk-gangguk mendengar.

Kerana cinta, kita ke syurga

i

Suatu malam, saya balik lewat dari program  (sebenarnya sudah awal pagi). Tanpa mengejutkan ummi khaulah, saya masuk ke rumah guna kunci yang saya bawa. Khaulah dan umminya tengah nyenyak tidur di ruang tamu. Kak cik dan abang cik pun tidur di situ juga. Setelah bersihkan diri lebih kurang, saya ambil bantal lalu merebahkan tubuh bersama mereka. Malas nak tidur sorang-sorang dalam bilik. Belum sempat melabuh tubuh, tiba-tiba terdengar suara khaulah memangil-mangil saya. Saya jenguk kepadanya yang mengiring di sisi umminya. Rupa-rupanya dia mengigau memangil saya. Saya mengintai wajahnya diredup cahaya lampu yang ada. Kelihatan masih ada sisa senyum dibibirnya. Barangkali ada igauan indah yang menerpa jiwanya. Saya mengalih renungan ke wajah kakcik. Siswi asasi syariah UM ini seakan terbawa hidup riangnya dalam tidur. Mata saya meleret pula ke wajah abang cik. Manik-manik peluh masih melekat di wajah cerah remaja tingkatan satu maahad tahfiz ini. Di wajah isteri ku, terpancar redup keletihan yang amat panjang. Hati saya tiba-tiba disambar kesayuan… Ya Allah… semoga Engkau izinkan kami bergandingan berbimbingan tangan memasuki syurga Mu nanti…. amiin, Ya Rabbul Mustadh’afin.

 

ii

Orang-orang yang beriman akan dijemput oleh Allah untuk memasuki surga diiringi oleh isteri dan anak cucu mereka masing-masing.

  ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ أَنتُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ تُحۡبَرُونَ

70. (Mereka diberi sebaik-baik balasan Dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke Dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), Dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.  (az-Zukhruf)

 

 وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱتَّبَعَتۡہُمۡ ذُرِّيَّتُہُم بِإِيمَـٰنٍ أَلۡحَقۡنَا بِہِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَمَآ أَلَتۡنَـٰهُم مِّنۡ عَمَلِهِم مِّن شَىۡءٍ۬‌ۚ كُلُّ ٱمۡرِىِٕۭ بِمَا

كَسَبَ رَهِينٌ۬

21. dan orang-orang Yang beriman Yang diturut oleh zuriat keturunannya Dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu Dengan mereka (di Dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat Dengan amal Yang dikerjakannya. (surah at Thur)

  Justeru itu hendaklah kita menjaga diri dan ahli keluarga kita dari terjerumus kepada kemurkaan Allah dan merugikan diri dan keluarga pada hari kiamat serta beroleh azab neraka.

 

 سَيَقُولُ لَكَ ٱلۡمُخَلَّفُونَ مِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ شَغَلَتۡنَآ أَمۡوَٲلُنَا وَأَهۡلُونَا فَٱسۡتَغۡفِرۡ لَنَا‌ۚ يَقُولُونَ بِأَلۡسِنَتِهِم مَّا لَيۡسَ فِى

قُلُوبِهِمۡ‌ۚ قُلۡ فَمَن يَمۡلِكُ لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔا إِنۡ أَرَادَ بِكُمۡ ضَرًّا أَوۡ أَرَادَ بِكُمۡ نَفۡعَۢا‌ۚ بَلۡ كَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ

خَبِيرَۢا

 

11. orang-orang “A’raab” (kaum Arab Badwi) Yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (Wahai Muhammad): “Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami”. mereka berkata Dengan lidahnya apa Yang tidak ada Dalam hatinya. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka Adakah sesiapa Yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (tidak ada sesiapapun, dan apa Yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha mendalam pengetahuannya tentang sebab ketinggalan Yang kamu lakukan itu (dan ia akan membalasnya). (al Fath)

 

 Jangan pula ahli keluarga yang menjadi penyebab kepada kemurkaan Allah kepada kita.

 

 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا

يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ

 6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan. (at Tahrim)

 

 Suami yang soleh tidak dapat menyelamatkan isteri atau ahli keluarganya yang khianat terhadap Allah dan Islam

 

 ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱمۡرَأَتَ نُوحٍ۬ وَٱمۡرَأَتَ لُوطٍ۬‌ۖ ڪَانَتَا تَحۡتَ عَبۡدَيۡنِ مِنۡ عِبَادِنَا صَـٰلِحَيۡنِ

فَخَانَتَاهُمَا فَلَمۡ يُغۡنِيَا عَنۡہُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔ۬ا وَقِيلَ ٱدۡخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّٲخِلِينَ

10. Allah mengemukakan satu misal Perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat Dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman Dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba Yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); Dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke Dalam neraka bersama-sama orang-orang Yang masuk (ke situ)”. (at Tahrim)

 

 Kita diperingatkan agar mengutamakan Allah, Rasul dan jihad pada JalanNya mengatasi kepentingan yang lain.

 

 قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ

كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ

بِأَمۡرِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ

 Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); keranaAllah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka). (at Taubah)

Mendulang emas

Ilmu umpama emas. Sebagaimana emas, ilmu tidak pernah merudum nilainya. Justeru itu, mencari ilmu umpama mendulang emas. Bagaimana kita mendulang emas? Kita kena ada dulang yang sesuai. Kita kena ada kemahiran mendulang. Kita kena tahu di mana emas boleh didulang. Di bukit mana, di lurah mana atau di tepian sungai mana. Tapi yang paling penting ialah kita mesti kenal emas itu emas. Sebabnya, jika kita tidak dapat bedakan antara emas dengan tembaga, dibimbangi kita buang emas dari dulang dan mengendung balik tembaga yang jauh kurang nilainya dari emas.

Kalau hendak mendulang emas, kena pastikan tempat kita dulang itu ada emas. Kalau tidak kita tentunya hanya membuang masa dan tenaga. Pastikan emas yang kita ambil dari dulang. Jangan emas dibuang lalu yang diambil ialah besi, lumpur atau tembaga. Rasanya, kita cari ilmu pun macam itulah. Kena cari ilmu pada tempat dan orang yang betul. Pastikan yang kita ceduk itu ilmu yang betul. Dulang emas yang tulen. Ambil ilmu yang benar dari tempat dan empunya ilmu yang benar. Ilmu itu lebih berharga dari emas.

Menyalakan pelita ruhani

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ

ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢) ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ

ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقًّ۬ا‌ۚ لَّهُمۡ

دَرَجَـٰتٌ عِندَ رَبِّهِمۡ وَمَغۡفِرَةٌ۬ وَرِزۡقٌ۬ ڪَرِيمٌ۬

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (2) Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. (3) Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga). (4)  (al Anfal)

Menyoroti Firman suci di atas, kita akan menemukan suatu konsep kehidupan manusia mukmin haqiqi yang diredhai Allah. Manusia mukmin yang kerangka hidupnya terbina pada dua teras maknusiawi yang utuh. Dua teras itu ialah teras ruhiyyah dan teras jasadiyyah. Teras ruhiyyah meliputi unsur batin atau spiritual yang menjelmakan ‘gementar hati’, ‘bertambah iman’, dan ‘tawakkal’. Adapun unsur jasadiyyah atau amali fizikal pula menjelmakan ’solat’ dan ‘bersedekah’ atau jihad harta.

Ini adalah dua teras maknusiawi mukmin yang perlu dijelmakan dalam hidup ini. Unsur ruhiyyah mesti ada dan mesti pula mampu menjelmakan unsur-unsur jasadiyyah atau amali. Tidak  ada makna ‘gementar hati’ kerana takutkan Allah jika rasa hati itu tidak mampu membawa pemiliknya bersembah sujud kepada Allah melalui amali solat dan juga bersedekah. Demikian juga jika hanya bersolat atau bersedekah, tetapi solatnya atau sedekahnya pula kering dari rasa takut yang tulus yang membawanya khusyu’ dan tawakkal kepada Allah.

 

فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ (٥) ٱلَّذِينَ هُمۡ

يُرَآءُونَ

 

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (5) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),  (Al-Maun)