Archive for February, 2011


Perkukuh Kubu di Johor

Dun Maharani dan DUN Sungai Abong tentunya menjadi anak emas PAS Johor. Kedua-dua DUN ini melakar sejarah dalam perjuangan PAS di negeri tanah tumpah darah UMNO ini pada pilihanraya umum yang lalu. Meskipun DUN Senggarang mencipta sejarah sebagai anak sulung kemenangan PAS di Johor, namun kemenangan di Maharani dan Sungai Abong tentunya suatu kemenangan jantan yang amat bergaya. Kemenangan ini pastinya bukan semata-mata terhasil oleh gelombang perubahan politik di peringkat nasional, malah ianya turut juga dipengaruhi oleh kekuatan jentera pilihanraya Johor di semua peringkat dan tidak ketinggalan juga kerana terserlahnya ketrampilan calon yang dikemukakan oleh PAS.

 Sebagai peneroka kemenangan PAS di Johor, tentunya kedua-dua DUN ini layak dinobatkan sebagai kubu kuat PAS di negeri ini. Kalau dulu, kubu kuat PAS di Johor terletak di kawasan-kawasan majority besar Melayu, seperti di Rengit, Endau, Sri Medan dan bebarapa kawasan lagi, namun kemenangan di kedua-dua DUN tersebut barangkali menganjak sedikit perspektif banyak pihak bahawa potensi PAS untuk menang di kawasan kubu Melayu tradisi mereka kelihatan agak sukar. DUN Rengit adalah satu-satunya DUN majority Melayu yang merupakan kubu kuat PAS secara tradisi di Johor yang mencatat penurunan undi yang diperolehi oleh PAS dalam PRU12 lalu berbanding PRU sebelumnya. Kubu tradisi PAS di kawasan Melayu ini memang memiliki kelebihan dari segi kekuatan sokongan ahli yang ramai dan tegar. Namun ini tidak menjamin mereka mampu menarik pengundi yang ramai untuk memberi undi pada PAS. Fenomena ini tentunya menjadi suatu senario baru dalam politik PAS di Johor. Kawasan yang dulunya tidak dilihat sebagai berpontensi untuk PAS menang, kini ternyata mampu meraih kemenangan dan sewajarnya kawasan ini dinobatkan sebagai kubu kuat PAS di Johor.

 Gelombang politik di negara kita ternyata ada pasang surut dan ini membawa perubahan-perubahan yang kadang kala sukar dijangka atau diramal. Senario di Tenang, Galas, Hulu Selangor dan di beberapa PRK yang lalu memperlihatkan sikap pengundi yang pelbagai. Kelihatannya seperti sokongan bukan Melayu masih utuh dengan PR dan pengundi Melayu pula lebih banyak memihak kepada BN. Kalau di Tenang pula, meskipun pengundi Cina masih kekal, tetapi pengundi Melayu bandar atau pinggir bandar nampaknya cenderung kembali kepada BN. Pada penulis, senario dan perubahan arus gelombang politik ini perlu diteliti dan ditekuni oleh pimpinan PAS Johor. Kerana saya yakin ianya akan mendatangkan impak kepada kalah menang PAS di Johor dalam PRU yang akan datang. Begitu juga dengan kemampuan bertahan kedua-dua kubu kuat PAS yang kita menangi dalam PRU12 baru lalu.

 Pendekatan dan usaha yang lebih mantap, (pada saya patut lebih agresif) perlu dirangka dan dilaksanakan oleh kepimpinan dan jentera PAS untuk memperkukuhkan lagi kedua-dua DUN kubu kemenangan kita di Johor ini. Suhu sokongan pengundi setempat sewajarnya dipantau dan dinilai secara berkala dan berkesan untuk mengenalpasti tahap sokongan serta mengenalpasti dianogsis permasalahan atau ketempangan yang timbul. Usaha penetrasi ke dalam lubuk hati pengundi melayu yang mendiami pinggir bandar atau kampong tradisi di DUN berkenaan amat perlu dilakukan secara tersusun dan berkala. Di samping itu, kemampuan jentera pilinraya tempatan perlu diperkukuhkan. Jentera peringkat negeri tidak sewajarnya merasa selamat dan selesa lalu bersikap sambil lewa dalam usaha ini memandangkan kerja atau jihad mempertahankan kemenangan ini tentunya bukan kerja yang mudah atau ringan. BN tentunya tidak akan berdiam diri dan membiarkan sahaja kedua-dua DUN ini kekal di tangan PR. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan orang kuat kawasan Pagoh,  Muhyidin Yassin sebagai TPM dan berjiran dengan kedua-dua DUN tersebut. Semua tentu yakin BN akan berhabis-habisan untuk menawan kembali kerusi mereka yang terlepas itu.

 Dalam kesibukan kempen pilihanraya di Tenang baru-baru ini, ramai juga rakan-rakan yang tertanya-tanya kenapa tidak diketengahkan secara tersusun program bagi menampilkan ahli DUN kedua-dua DUN tersebut ke tengah khalayak pengundi dan sekaligus mempromosi betapa pentingnya wakil PAS dalam Dewan Undangan Johor. Tentunya ini lebih berimpak tinggi dalam politik berbanding dengan hanya membawa kedua-dua ahli DUN ini ke program-program ziarah dan khidmat kesihatan.

Mengempur Propaganda BN

Kelebihan BN ialah mereka mampu menguasai mekanisma penyebaran propaganda dengan baik dan berkesan. BN menguasai media perdana, samada dalam bentuk bercetak, elektronik, mahupun secara maya, yang mana semua mekanisma ini dimanfaat sepenuhnya oleh mereka untuk menyebarkan propaganda gabungan parti nasionalis sekular ini. Media propaganda yang mereka kuasai ini dilihat dapat dipergunakan oleh BN secara berkesan untuk menarik sokongan masyarakat, khususnya para pengundi kepada mereka. BN juga nampaknya amat memanfaatkan kelebihan mereka sebagai kerajaan yang tentunya menguasai jentera-jentera kerajaan yang sepatutnya bebas dari kepentingan kepartian, di mana jentera-jentera ini turut diperkudakan sebagai media propaganda mereka. Pendekatan propaganda yang lebih berbentuk mendekati dan memikat hati dan jiwa pengundi melalui agenda bantuan materi dipergunakan sepenuhnya oleh BN, bukan sahaja melalui jentera-jentera ini malah melalui institusi-institusi kemasyarakatan seperti masjid, badan-badan kebajikan, pertubuhan belia dan sebagainya.

 Pakej yang digunakan BN untuk menguasai minda dan jiwa pengundi melalui penguasaan saluran informasi atau maklumat  dan pendekatan menabur bantuan materi, sebenarnya telah banyak mendatangkan keuntungan kepada mereka. Pakej ini nampaknya berkesan di sepanjang masa dan keadaan.

 PR (Pakatan Rakyat) kelihatan belum mampu menandingi BN dalam menguasai mekanisma menarik sokongan pengundi seperti itu. Banyak isu, samada di peringkat nasional atau tempatan yang secara jelas memihak kepada PR dan dilihat mampu digunakan untuk menarik sokongan pengundi. Contohnya isu-isu Felda yang dibangkitkan oleh ANAK di kalangan para penoroka sendiri. Tetapi realitinya isu tersebut masih gagal menarik sokongan padu para peneroka kepada PR. Yang nyata bukan soal isu itu tidak menarik atau tidak berimpak tinggi, tetapi ianya lebih kepada keberkesanan media propaganda BN kelihatannya telah mampu menangani isu itu dan sekaligus mengagalkan agenda PR.

 PR masih gagal memperkukuh dan mengefektifkan media propaganda mereka untuk menguasai bukan hanya minda pengundi malah turut menguasai jiwa dan emosi mereka. Penulis merasakan bahawa PR wajar meningkatkan lagi usaha dan mengkaji secara tuntas berkaitan dengan mekanisma atau media-media yang mereka perlu garap dan terokai untuk berdepan dengan strategi propaganda BN yang semakin mengancam itu. Pendekatan dan strategi yang berkesan perlu dikenalpasti dan diperkukuhkan. Samada ianya pendekatan atau strategi baru atau yang lama diberi nilai baru, perlulah diberi perhatian, pemantauan dan penilaiaan keberkesanan yang rapi. Pendekatan yang telah lasak dan kelihatan berkesan yang digunapakai hari ini, seperti pendekatan ceramah, blogging, sebaran risalah, program kebajikan, ziarah, dialog, rekreasi dan sebagainya rasanya amat perlu dibedahsiasat secara rapi untuk diberi nafas baru atau ditambah nilai agar ianya dapat mendatangkan impak yang lebih besar kepada sasaran. Perhatian juga perlu diberi kepada pendekatan menguasai jiwa dan emosi pengundi, bukan semata-mata menguasai minda dengan asakan-asakan isu yang kadang-kadang tidak langsung mempedulikan sensitiviti jiwa atau emosi sasaran. Dalam usaha untuk menguasai minda dan jiwa sasaran atau pengundi, pendekatan yang lebih menyeluruh, yang meliputi propaganda intelek dan sentuhan ruhani dan jiwa amat perlu diberi penekanan.

 Pada PRU ke 10 yang lalu, PAS khususnya, telah meraih undi Melayu yang amat memberangsangkan. Bagaimana ini berlaku ? Apakah faktor-faktor yang membawa kepada perubahan itu ? Perbahasan berkaitan dengan faktor-faktor yang mendatangkan impak kepada pola undi PRU10 itu telah banyak diketengahkan oleh pelbagai pihak. Namun sewajarnya kita turut menkaji dan meneliti apakah bentuk mekanisma pada masa itu, samada dirancang atau tidak terancang, yang membolehkan maklumat sampai kepada pengundi secara berkesan, dan apakah pendekatan yang dilakukan pada masa itu, sehingga kita dapat kuasai jiwa dan emosi pengundi untuk memberi undi kepada kita? Dan yang paling mustahak, apakah penambahbaikan berterusan yang perlu kita usahakan agar mekanisma atau pendekatan itu tetap releven dan berkesan?

Gelombang Merah di Kelantan

Semasa balik berkunjung ke Tanah Serendah baru-baru ini, tok ayah nampak beberapa kain pemidang berwarna merah menebeng di beberapa simpang jalan di Kota Bharu. Gelombang Merah. Demikian tercalit kalimah di pemidang-pemidang itu.

 ‘Aaaa…. ni la slogan baru UMNO Kelantan yang dilancar oleh Tok Pa baru ni tu…’ Tetiba terpancul komentar dari Ummi Khaulah semasa kami melintas satu pemidang merah yang dipasang ditepi pagar berhampiran Lorong Tok Semian. Terkedek-kedek dia di tepi pemidang itu dan minta tok ayah ambilkan gambar dia berlatar belakang pemidang tersebut.

 ‘Buat malu ko orghe weh…takdok background lain ko…’

 ‘Weii la…payah nak cari backdrop macam ni nih. Kalu kito balik semular pun belum tentu ado lagi banner mace nih…. Hehehe…’

 i

 Gagasan atau kempen gelombang merah (barangkali tokpa dan nuar muso terpengaruh dengan kehebatan warna merah si red warriors tu), yang dilancarkan oleh tokpa tentunya diharap dapat menjadi asas kepada kebangkitan kembali UMNO Kelantan setelah tertimbus dekat nok mapuh oleh gagasan 18 tahun pade doh yang dilancarkan oleh KJ masa piliharaya 2008 yang lalu. Barangkali gagasan golongan muda pimpinan KJ dulu membawa padah, maka golongan tua pula mengambil berkat untuk melancarkan gagasan kebangkitan merah yang baru. Keupayaan mengurangkan undi majoriti PAS di Manik Urai dan mampu pula tundukkan calon Tok Guru di Galas tentunya telah memberi semangat baru pada beberapa kerat si tua dalam UMNO kelantan. Lalu lahirlah gelombang merah. Sebagaimana ramainya orang kelantan yang fanatic menyokong the red warriors, seramai itu pulalah harapan tokpa, nuar muso dan awe adik, orang kelantan akan kembali ke riba UMNO.

 Tidak berkesempatan pula tok ayah nak buat kajian secara ilmiah tentang tahap kekuatan dan impak gagasan gelombang merah itu. Cuma tok ayah sempat jugalah meninjau tahap promosi gagasan ini dan dukungan penyokong UMNO Kelantan sendiri. Kalau setakat lima enam keping pemidang sekangkang kera di sekitar pekan yang berjaya disidai, bagi tok ayah ini petanda awal menuju kegagalan. Lebih-lebih lagi isu besar dan segar yang hendak didukung oleh arus gelombang ini pun tidak ada yang menyerlah, apatah lagi hendak menyengat. Memang non-impact factor. Semangat pendukung UMNO pun masih ditakuk lama. Samada mereka ini kurang  bersemangat untuk berdepan pendukung PR atau mereka hilang kepercayaan kepada pimpinan tokpa, nuar muso dan awe adik yang kelihatannya semakin malap daya juang dan inovasi masing-masing.  UMNO kelantan sekarang berdepan dengan gajah besar, bukannya burung candik. Tidak menasabah kalau bergantung harap kepada  peluru penabur dua tiga butir. Tapi nampaknya itulah dua tiga butir kekuatan yang mampu dikutip oleh trio tok dekar UMNO Kelantan sekarang ini.

 ii

Namun, yang jelasnya orang PAS Kelantan jangan berasa besar kepala dan selesa kerana UMNO tidak memiliki peluru yang besar dan banyak untuk membedil kita. Memang PAS banyak peluru, cuma nasihat tok ayah agar berjaga-jaga, jangan sampai peluru di tangan kita itu meletup sendiri. Meletup bukan kerana bedilan UMNO, tetapi kerana karenah kita sendiri yang tidak beringat dalam mengendalikan peluru itu.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.