Saya dikhabarkan oleh berita-berita utama negara perihal PM sibuk mengagihkan ribuan ekor kambing kepada para penternak dan bakal penternak, khususnya di negeri Pahang. Bila timbul cerita kambing ini, terasa terpanggil pulak untuk merenung sejenak tentang makhluk Allah ini, yang dagingnya direncahkan sebegitu rupa oleh ahki Jumali, si penjual sup di warung Markas PAS, sehingga aroma keenakkan sup kambingnya  tersohor ke seantero negeri Darul Ta’zhim ini. (takzim)

 Perihal kambing ini sebenarnya mempunyai nilai sejarah dan iktibar tersendiri yang agak istimewa dalam kehidupan manusia. Al Quran membawa kisah kaitan para anbiya’ dengan makhluk bergelar kambing. Contohnya kisah nabi Allah Musa as, yang pernah menyara hidup dengan menternak dan mengembala kambing. Begitu juga dengan Rasulullah saw sendiri, yang sebahgian kehidupan remajanya diisi dengan kerjaya mengembala kambing. Para ulama’ dan sejarawan Islam banyak mengupas pengiktibaran dari ketentuan dan sunnah Allah ini. Ramai yang menyebut, betapa usaha menternak dan juga gembalaan kambing ini memberi impak besar kepada budaya, emosi dan pemikiran bagi mereka yang terlibat. Antara rumus mereka ialah bahawa mengembala kambing mendidik untuk menjadikan kita sabar, tenang, bijak, redha, syukur, melatih kukuh ingatan, tafakur, menguasai sains haiwan, berjiwa merdeka, berjiwa pemimpin dan sebaginya lagi.

 Amat beruntung sebenarnya mereka yang dianugerahkan Allah dengan perkerjaan mengurus kambing ini. Bukan hanya mampu menjana pendapatan dan juga pahala, malah dalam masa yang sama terdedah kepada tazkirah yang besar maknanya bagi manusia, yang dizahirkan oleh Allah melalui sunnah kehidupan para kambing.

 Tiba-tiba, saya terkenangkan seseorang yang bernama Tsa’labah. Manusia bernama Tsa’labah ini juga ada ceritanya tersendiri dengan para kambing. Tsa’labah yang pada asalnya merupakan hamba Allah yang taat, mengakhiri hidupnya dengan menjadi hamba kepada kambing. ( Kami berlindung kepada Mu ya Allah )

 Allah menciptakan kambing untuk kita supaya kita mengambil manfaat yang baik darinya. Jangan pula kerana para kambing ini kita lupa pada Allah lalu menjatuhkan darjat kita dengan mewartakan diri kita menjadi hamba kambing. Bertambah jangan lagi, kalau kita turut mejadi hamba kepada manusia yang mempawahkan kambing itu pada kita. Justeru kerana kambing itu datang dari manusia itu, maka kita ingat dan yakin pula bahawa segala yang berasal dari kambing tu datang nya dari manusia tersebut.

 Islam mengajar kita agar berterima kasih kepada seseorang yang memberikan kebaikan kepada kita. Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada orang yang berbudi kepadanya, sebenarnya ia tidak berterima kasih kepada Allah. Tetapi ini tidak bermakna kita boleh merelakan diri kita menjadi hamba kepada yang lain selain dari Allah.

 Bagi mereka yang kerjayanya berpusat pada kambing, maka para kambing itulah ujian Allah bagi mereka. Adapun bagi kita yang kerjanya makan gaji macam saya , barangkali yang boleh dianalogikan dengan kambing itu ialah pangkat atau kedudukan atau imbuhan wang ringgit itu pulalah ujian untuk kita.

  Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu. (Al-Mukminun 21)

  Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).  (Ali Imran 14)

  Atau adakah Engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (Apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.  (Al Furqan 44)