94. mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, Sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) Dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara Kami Dengan mereka?”

95. Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) Yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku Dengan tenaga (kamu beramai-ramai) Aku akan bina antara kamu Dengan mereka sebuah tembok penutup Yang kukuh. (surah al Kahfi)

 

 Menyedari bahawa upah dan ganjaran yang dikurniakan Allah kepada kita itu adalah lebih besar nilainya dari apa yang dijanjikan dan diberikan oleh manusia kepada kita hasil dari usaha kita kepada mereka, adalah merupakan pegangan hidup yang amat perlu difahami secara benar.

 Sesiapapun manusia yang menjadi majikan kita, atau pemberi manfaat duniawi kepada kita, walau sebesar manapun manfaat atau ganjaran yang mereka datangkan kepada kita, namun ianya tetap tidak meyamai besarnya kurniaan yang dijanjikan Allah kepada kita. Besar manapun gaji, keuntungan, pangkat atau darjat yang kita nikmati di dunia ini pastinya tidak akan mampu menandingi nikmat Allah di syurgaNya.

 Kita sebagai pekerja, samada sebagai guru, kerani, pegawai, ahli professional, petani dan sebagainya, sebenarnya melakukan amalan yang soleh dengan pekerjaan kita itu. Kita seharusnya sedar bahawa pahala dan ganjaran melakukan amal yang soleh di sisi Allah itu jauh lebih besar dari ganjaran atau keuntungan berbentuk wang ringgit atau pangkat atau pujian manusia yang kita peroleh di muka bumi ini.

 Jika kita sedar bahawa ganjaran dari Allah itu lebih utama dari ganjaran manusia, maka tentunya  objektif dan fokus utama kita dalam melakukan amal itu ialah berusaha untuk memastikan bahawa kita tidak akan terlepas untuk mendapat nikmat besar dari Allah. Justeru itu, setiap amal kita hendaklah kita sempurnakan sesuai dengan kehendak Allah supaya ganjaran Allah yang lebih besar dari ganjaran yang diberi oleh manusia itu dapat kita raih sebaik mungkin.

 Yang nyata, kita tidak akan mengutamakan ganjaran manusia yang tidak seberapa itu berbanding dengan ganjaran dari Allah yang amat besar kepada kita. Kita tidak akan korbankan ganjaran Allah senata-mata hendak mengejar ganjaran duniawi yang serba kecil dan kurang. Kita juga pastinya tidak akan tunduk kepada kehendak si pemberi ganjaran dunia sekiranya kehendak itu bakal menyebabkan kita meyanggahi kehendak Allah dan sekaligus menyebabkan kita kehilangan ganjaran besar dari Allah.

 3. orang-orang Yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang Yang terjerumus ke Dalam kesesatan Yang jauh terpesongnya. (surah Ibrahim)