“Kesiannya Ba, dia orang tu malam-malam raya macam ni pun kena kerja lagi ke ?” Kak Cik dengan nada sedihnya mencelah kebisuan kami semasa dalam perjalanan balik dari Pasar Borong Wakaf Che Yeh malam raya baru-baru ini.

 “Dah kerja dia orang Cik. Kalau dia orang tak angkat sampah tu, bertimbun lagi lah esoknya. Tentu busuk dan menganggu keselesaan orang nak beraya” Ummi Khaulah memberi respon selambanya.

 “Tapi besar pahala dia orang tu. Kerja tak glamor pun rezkinya halal dan mendatangkan manfaat yang amat besar kepada orang lain. Kalau dia orang tak angkut sampah tu, alamat busuk habis la kat area situ. Semua orang boleh buat kerja tu, tapi sebenarnya berapa orang sangat yang sanggup buat dan bersengkang mata malam-malam raya gini. Kerja dia orang ni pada Abe, jauh lebih mulia dari kerja para artis yang duk melalak dengan mendedah aurat dan bergaul tanpa batas  menyambut raya” Macam bersyarah pulak Abe Khalis kepada adik-adiknya.

 Kereta kami terus meredah malam yang dingin menghampiri Dewan Beta meninggalkan sekumpulan pekerja-pekerja Majlis Daerah Ketereh yang bertungkus lumus memunggahkan sampah-sampah yang dikumpul di tepi-tepi jalan untuk dimasukkan ke dalam lori majlis yang sedang menanti.

 Limabelas minit kemudian, tepat jam 12.30 malam, kami selamat sampai ke rumah Mak di Serendah. Sewaktu menengguk segelas oren membasah tekak, tetiba wajah berpeluh sahabat-sahabat pekerja Majlis Daerah Ketereh tadi menerpa hati saya. Yang pasti, mereka tentu belum selesai dengan tugas-tugas murni mereka itu. Semoga Allah memberkati hidup kalian.

 

Sabda Rasulullah saw : Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia menyayangi saudaranya sama seperti dia menyayangi dirinya sendiri. (Muttafaq ’alahi)

 70. dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). tidak ada baginya Pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya). (al-an’am)