Semasa balik berkunjung ke Tanah Serendah baru-baru ini, tok ayah nampak beberapa kain pemidang berwarna merah menebeng di beberapa simpang jalan di Kota Bharu. Gelombang Merah. Demikian tercalit kalimah di pemidang-pemidang itu.

 ‘Aaaa…. ni la slogan baru UMNO Kelantan yang dilancar oleh Tok Pa baru ni tu…’ Tetiba terpancul komentar dari Ummi Khaulah semasa kami melintas satu pemidang merah yang dipasang ditepi pagar berhampiran Lorong Tok Semian. Terkedek-kedek dia di tepi pemidang itu dan minta tok ayah ambilkan gambar dia berlatar belakang pemidang tersebut.

 ‘Buat malu ko orghe weh…takdok background lain ko…’

 ‘Weii la…payah nak cari backdrop macam ni nih. Kalu kito balik semular pun belum tentu ado lagi banner mace nih…. Hehehe…’

 i

 Gagasan atau kempen gelombang merah (barangkali tokpa dan nuar muso terpengaruh dengan kehebatan warna merah si red warriors tu), yang dilancarkan oleh tokpa tentunya diharap dapat menjadi asas kepada kebangkitan kembali UMNO Kelantan setelah tertimbus dekat nok mapuh oleh gagasan 18 tahun pade doh yang dilancarkan oleh KJ masa piliharaya 2008 yang lalu. Barangkali gagasan golongan muda pimpinan KJ dulu membawa padah, maka golongan tua pula mengambil berkat untuk melancarkan gagasan kebangkitan merah yang baru. Keupayaan mengurangkan undi majoriti PAS di Manik Urai dan mampu pula tundukkan calon Tok Guru di Galas tentunya telah memberi semangat baru pada beberapa kerat si tua dalam UMNO kelantan. Lalu lahirlah gelombang merah. Sebagaimana ramainya orang kelantan yang fanatic menyokong the red warriors, seramai itu pulalah harapan tokpa, nuar muso dan awe adik, orang kelantan akan kembali ke riba UMNO.

 Tidak berkesempatan pula tok ayah nak buat kajian secara ilmiah tentang tahap kekuatan dan impak gagasan gelombang merah itu. Cuma tok ayah sempat jugalah meninjau tahap promosi gagasan ini dan dukungan penyokong UMNO Kelantan sendiri. Kalau setakat lima enam keping pemidang sekangkang kera di sekitar pekan yang berjaya disidai, bagi tok ayah ini petanda awal menuju kegagalan. Lebih-lebih lagi isu besar dan segar yang hendak didukung oleh arus gelombang ini pun tidak ada yang menyerlah, apatah lagi hendak menyengat. Memang non-impact factor. Semangat pendukung UMNO pun masih ditakuk lama. Samada mereka ini kurang  bersemangat untuk berdepan pendukung PR atau mereka hilang kepercayaan kepada pimpinan tokpa, nuar muso dan awe adik yang kelihatannya semakin malap daya juang dan inovasi masing-masing.  UMNO kelantan sekarang berdepan dengan gajah besar, bukannya burung candik. Tidak menasabah kalau bergantung harap kepada  peluru penabur dua tiga butir. Tapi nampaknya itulah dua tiga butir kekuatan yang mampu dikutip oleh trio tok dekar UMNO Kelantan sekarang ini.

 ii

Namun, yang jelasnya orang PAS Kelantan jangan berasa besar kepala dan selesa kerana UMNO tidak memiliki peluru yang besar dan banyak untuk membedil kita. Memang PAS banyak peluru, cuma nasihat tok ayah agar berjaga-jaga, jangan sampai peluru di tangan kita itu meletup sendiri. Meletup bukan kerana bedilan UMNO, tetapi kerana karenah kita sendiri yang tidak beringat dalam mengendalikan peluru itu.