Jentera penerangan PAS di peringkat akar umbi di Johor nampaknya masih belum mantap dan belum berupaya untuk melebarkan peranannya secara berkesan. Benteng UBN di Johor, khususnya di persekitaran majoriti Melayu dan persekitaran kampung-kampung tradisi serta Felda, masih belum digempur secara agresif dan berkesan oleh jentera penerangan PAS. Ceramah-ceramah umum khususnya, memang pernah bertapak di kawasan-kawasan seperti ini. Tetapi penembusan maklumat politik ke minda dan hati para pengundi tempatan masih belum dilakukan secara tersusun dan berkesan. Sebenarnya, berdasar pengamatan dan maklumat yang diterima, sebilangan besar pengundi di persekitaran tersebut masih belum terdedah kepada isu-isu politik yang datangnya dari PAS secara menyeluruh. Hatta jangan terkejut jika masih ramai yang belum tahu apa itu PAS dan perjuangan politiknya. Ramai pengundi hanya pentakliq kepada majoriti dan establishment yang wujud di sekitar mereka sahaja.

Mereka diperkenalkan tentang PAS oleh musuh politik PAS. Justeru itu maka yang terpahat diminda dan hati mereka ialah wajah buruk PAS semata-mata. Pengundi seperti ini tentunya masih berpotensi untuk berubah jika jentera PAS secara berkesan dapat menampilkan PAS dengan wajahnya yang sebenar kepada mereka. Inilah tugasan penting jentera penerangan PAS di Johor, khususnya di peringkat akar umbi parti, untuk dijadikan keutamaan. Organisasi jentera pilihanraya tentunya telah mantap buat masa ini. Saki baki sebulan dua ini sewajarnya digunakan secara optimum untuk gerak kerja kempen dan penerangan ke akar umbi pengundi. Task-force kempen dan penerangan harus digerakkan di semua peringkat samada kawasan atau cawangan atau UPU.

Aktiviti penerangan seperti ceramah, khususnya yang berskala sederhana dan kecil yang terfokus, penyebaran risalah, poster, dan pamplet yang disusunatur kemas serta memikat, memaparkan isu-isu menarik melalui bill board dan banner yang terserlah, amat perlu dipertingkatkan lagi. Semua pengundi atau lokaliti yang difikirkan berpotensi untuk beralih kepada PR perlu didekati secara agresif dengan bahan kempen yang berkesan. Budaya dakwah fardiyyah perlu dihidupkan dan dimantapkan dalam diri setiap ahli atau aktivis parti agar mereka siap sedia untuk tugasan mendekati pengundi secara inter-personal.

Cadangan PAS Johor untuk gegarkan negeri kubu kuat UBN ini dengan himpunan prihatin isu tanah rakyat di Johor dengan sasaran kehadiran 30,000 orang nanti pastinya dapat dijadikan momentum pengerak kepada kempen politik besar-besaran PR ke seluruh pelusuk negeri ini. Lantaran itu, jentera penerangan dan kempen perlu dipersiapkan di semua peringkat agar dapat menjadi penyalur gema gegaran himpunan tersebut kepada semua pengundi di segenap pelusuk negeri.

Advertisements