وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ

أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬‌ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

 

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.  (al Hasyr 9)

Tok Ngah Hj Ya adalah sepupu ibu saya. Isterinya saya panggil Tok Ngah Esah. Saya tidak berapa ingat umur Tok Ngah Ya, yang saya diberitahu, umur isterinya sebaya Ibu saya. Tok Ngah Ya menetap di Kg Slow Mengkuang, dekat Laloh. Boleh tahan juga pendalamannya tempat itu. ( Slow : merujuk kepada stesen keretapi di mana keretapi hanya memperlahankan gerabaknya ketika melalui stesen tersebut). Tok Ngah Ya mempunyai tiga orang anak. Dua lelaki, kedua-keduanya bekerja di Kuala Lumpur dan seorang lagi perempuan, menetap bersama suami bersebelahan rumah keluarganya.

 Tok Ngah Ya, samalah macam orang sekampungnya, mencari sesuap nasi dengan menoreh getah. Setahu saya kebun getahnya seluas 10 ekar, termasuk tapak rumah dan tanaman buah-buahan. Seperti biasa, rutin harian Tok Ngah Ya ialah bangun sebelum subuh. Membersihkan diri di telaga belakang rumah dan bersedia untuk mengimamkan solat subuh di surau yang sepelaung dari rumahnya. Selepas solat, Tok Ngah Ya dengan diiringi oleh bininya yang setia, meredah embun pagi mengutip rezeki di pangkal pokok getah. Itupun kalau tidak hujan. Kalau hujan, tentunya tidak menorehlah Tok Ngah Ya hari itu.

 Suatu masa dulu, saya datang menziarahi orang tua ini di kampongnya. Sewaktu saya sekeluarga sampai ke rumahnya, Tok Ngah Ya dan isterinya sedang sibuk mengurus jualan getahnya dengan pemborong yang dating membeli getah.

 ‘Ni hok ghian (bahagian) Tok Ngah.. ni pulok hok ghian PAS’, Kata pemborong getah  sambil tangannya menghulur dua gulung wang kertas kepada Tok Ngah Ya.

 Tidak lama selepas itu, baru saya tahu apa maksud ‘hok ghian PAS’ itu.

 Rupa-rupanya dalam sebulan, Tok Ngah Ya akan menoreh secara khusus satu hari semata-mata untuk PAS. Jadi semua hasil yang diperolehi pada hari tersebut, Tok Ngah Ya akan derma kepada PAS.

 Tok Ngah Ya tak perlu berceramah berjam-jam dengan puluhan slide untuk memahamkan saya erti pengorbanan dan infaq dalam perjuangan. Mulai hari itu, saya belajar menconggak berapa gaji saya sehari. Dan yang lebih penting, saya patut kerap bertanya, berapa infaq saya bulan ini untuk jamaah. Allah sahajalah Yang Maha Tahu, betapa kekadang bila saya terkenangkan Tok Ngah Ya yang jauh di pendalaman itu, saya merasa amat malu pada diri sendiri.