Archive for July, 2009


Limau Nipis

Seminggu sekali, ummu Khaulah akan memetik buah limau nipis dari pohon di belakang rumah kami untuk kegunaan urusan dapurnya atau seringkali juga untuk dihadiahkan kepada teman-teman usrahnya. Pohon limau nipis ini subur. Dahan dan daunnya merimbun dan berbuah lebat. AlhamdulilLah, pohon yang ditanam sendiri oleh tangan Khaulah 3 tahun yang lalu ini telah menjadi sumber bagi umminya menjana pahala sedekah.

 Buah limau nipis amat masam rasanya. Kita hanya boleh manfaatkannya jika kita tahu ‘mengurus’ kemasaman buah ini secara baik.  Budu, cencaluk, tempoyak, sambal belacan, sup dan lain-lain yang seumpamanya, akan menjadi lebih lazat jika ditambah perahan jus limau ini secara secukup rasa. Apatah lagi jika diperah untuk teh atau sirap ais, atau diperah ke dalam air kosong dan dibancuh sedikit gula sebagai pemanis. Limau nipis yang pada asal dan secara aslinya bersifat kelat dan masam itu nampaknya sudah mampu menjadi penyumbang kepada keenakan dan kelazatan yang mengiurkan.

 Kata orang, bila hidup kita ditimpa kemasaman atau kepahitan, kita kena belajar untuk mengurusnya sebaik mungkin, sama seperti kita mengurus kemasaman limau nipis tadi. Yang pahit, kelat dan masam itu, jika diurus sebaiknya, kemasaman atau kekelatan boleh bertukar menjadi manis dan melazatkan.

لَتُبۡلَوُنَّ فِىٓ أَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِڪُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِڪُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذً۬ى كَثِيرً۬ا‌ۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).  Al Maidah 186

Infaq di Jalan Allah

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَـٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬ مِّمَّآ

أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِہِمۡ خَصَاصَةٌ۬‌ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

 

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.  (al Hasyr 9)

Tok Ngah Hj Ya adalah sepupu ibu saya. Isterinya saya panggil Tok Ngah Esah. Saya tidak berapa ingat umur Tok Ngah Ya, yang saya diberitahu, umur isterinya sebaya Ibu saya. Tok Ngah Ya menetap di Kg Slow Mengkuang, dekat Laloh. Boleh tahan juga pendalamannya tempat itu. ( Slow : merujuk kepada stesen keretapi di mana keretapi hanya memperlahankan gerabaknya ketika melalui stesen tersebut). Tok Ngah Ya mempunyai tiga orang anak. Dua lelaki, kedua-keduanya bekerja di Kuala Lumpur dan seorang lagi perempuan, menetap bersama suami bersebelahan rumah keluarganya.

 Tok Ngah Ya, samalah macam orang sekampungnya, mencari sesuap nasi dengan menoreh getah. Setahu saya kebun getahnya seluas 10 ekar, termasuk tapak rumah dan tanaman buah-buahan. Seperti biasa, rutin harian Tok Ngah Ya ialah bangun sebelum subuh. Membersihkan diri di telaga belakang rumah dan bersedia untuk mengimamkan solat subuh di surau yang sepelaung dari rumahnya. Selepas solat, Tok Ngah Ya dengan diiringi oleh bininya yang setia, meredah embun pagi mengutip rezeki di pangkal pokok getah. Itupun kalau tidak hujan. Kalau hujan, tentunya tidak menorehlah Tok Ngah Ya hari itu.

 Suatu masa dulu, saya datang menziarahi orang tua ini di kampongnya. Sewaktu saya sekeluarga sampai ke rumahnya, Tok Ngah Ya dan isterinya sedang sibuk mengurus jualan getahnya dengan pemborong yang dating membeli getah.

 ‘Ni hok ghian (bahagian) Tok Ngah.. ni pulok hok ghian PAS’, Kata pemborong getah  sambil tangannya menghulur dua gulung wang kertas kepada Tok Ngah Ya.

 Tidak lama selepas itu, baru saya tahu apa maksud ‘hok ghian PAS’ itu.

 Rupa-rupanya dalam sebulan, Tok Ngah Ya akan menoreh secara khusus satu hari semata-mata untuk PAS. Jadi semua hasil yang diperolehi pada hari tersebut, Tok Ngah Ya akan derma kepada PAS.

 Tok Ngah Ya tak perlu berceramah berjam-jam dengan puluhan slide untuk memahamkan saya erti pengorbanan dan infaq dalam perjuangan. Mulai hari itu, saya belajar menconggak berapa gaji saya sehari. Dan yang lebih penting, saya patut kerap bertanya, berapa infaq saya bulan ini untuk jamaah. Allah sahajalah Yang Maha Tahu, betapa kekadang bila saya terkenangkan Tok Ngah Ya yang jauh di pendalaman itu, saya merasa amat malu pada diri sendiri.

Peraih Ikan

Sewaktu balik untuk menjamah hidangan tengah hari tu, belum sempat saya melangkah masuk ke rumah, ummu Khaulah yang kebetulan membuka pintu dah mula mengomel.

 ‘apa la wak juki nih…. Ikut sedap dia jah nok niago ko tidok. Kadang-kadang bawa ikan, kadang-kadang tak…hari ni dia datang sekor ikan pun tak dok…’

 ‘Dia jual gapo jah hari ni ?’

 ‘Dio bawok sayur dengan tempe je……itupun kangkung yang dah kecut…’

 Tengah hari tu saya makan nasi berlauk masak lemak telur, telor goreng sambal dan sayur air kangkong…… oklah tu. Sedap dan berselera juga. Alhamdullillah.

 ii

 Wak Juki, beliau adalah penjual ikan dan lain-lain keperluan dapur harian di kampung kami. Dia bawa barang dagangannya dengan motor roda tiga. Dia paling popular di kalangan suri rumah kampung ni, termasuk ummu Khaulah. Kalau dia lambat datang semua orang dah resah. Kalau dia tak dapat berniaga, semua dah mengelabah.

 Baru-baru ni Wak Juki, jawa totok itu pun mengamuk.

 ‘Celaka punya UMNO. Sanggup puak-puak tu hina orang menjual ikan macam aku. Bukan orang berniaga ikan kat Manik Urai je yang terhina, aku kat sini pun terasa. Kalau tak ada orang yang berniaga macam aku nih, tentu susah orang macam kau semua nak makan ikan… bla…bla…bla…..’

 Membara hujah Wak Juki meluahkan amarah politiknya kepada tujuh lapan orang pembeli ikan yang mengerumuni motornya. Ada yang ketawa dan mengangguk-gangguk mendengar.

i

Suatu malam, saya balik lewat dari program  (sebenarnya sudah awal pagi). Tanpa mengejutkan ummi khaulah, saya masuk ke rumah guna kunci yang saya bawa. Khaulah dan umminya tengah nyenyak tidur di ruang tamu. Kak cik dan abang cik pun tidur di situ juga. Setelah bersihkan diri lebih kurang, saya ambil bantal lalu merebahkan tubuh bersama mereka. Malas nak tidur sorang-sorang dalam bilik. Belum sempat melabuh tubuh, tiba-tiba terdengar suara khaulah memangil-mangil saya. Saya jenguk kepadanya yang mengiring di sisi umminya. Rupa-rupanya dia mengigau memangil saya. Saya mengintai wajahnya diredup cahaya lampu yang ada. Kelihatan masih ada sisa senyum dibibirnya. Barangkali ada igauan indah yang menerpa jiwanya. Saya mengalih renungan ke wajah kakcik. Siswi asasi syariah UM ini seakan terbawa hidup riangnya dalam tidur. Mata saya meleret pula ke wajah abang cik. Manik-manik peluh masih melekat di wajah cerah remaja tingkatan satu maahad tahfiz ini. Di wajah isteri ku, terpancar redup keletihan yang amat panjang. Hati saya tiba-tiba disambar kesayuan… Ya Allah… semoga Engkau izinkan kami bergandingan berbimbingan tangan memasuki syurga Mu nanti…. amiin, Ya Rabbul Mustadh’afin.

 

ii

Orang-orang yang beriman akan dijemput oleh Allah untuk memasuki surga diiringi oleh isteri dan anak cucu mereka masing-masing.

  ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ أَنتُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ تُحۡبَرُونَ

70. (Mereka diberi sebaik-baik balasan Dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke Dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), Dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.  (az-Zukhruf)

 

 وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱتَّبَعَتۡہُمۡ ذُرِّيَّتُہُم بِإِيمَـٰنٍ أَلۡحَقۡنَا بِہِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَمَآ أَلَتۡنَـٰهُم مِّنۡ عَمَلِهِم مِّن شَىۡءٍ۬‌ۚ كُلُّ ٱمۡرِىِٕۭ بِمَا

كَسَبَ رَهِينٌ۬

21. dan orang-orang Yang beriman Yang diturut oleh zuriat keturunannya Dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu Dengan mereka (di Dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat Dengan amal Yang dikerjakannya. (surah at Thur)

  Justeru itu hendaklah kita menjaga diri dan ahli keluarga kita dari terjerumus kepada kemurkaan Allah dan merugikan diri dan keluarga pada hari kiamat serta beroleh azab neraka.

 

 سَيَقُولُ لَكَ ٱلۡمُخَلَّفُونَ مِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ شَغَلَتۡنَآ أَمۡوَٲلُنَا وَأَهۡلُونَا فَٱسۡتَغۡفِرۡ لَنَا‌ۚ يَقُولُونَ بِأَلۡسِنَتِهِم مَّا لَيۡسَ فِى

قُلُوبِهِمۡ‌ۚ قُلۡ فَمَن يَمۡلِكُ لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔا إِنۡ أَرَادَ بِكُمۡ ضَرًّا أَوۡ أَرَادَ بِكُمۡ نَفۡعَۢا‌ۚ بَلۡ كَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ

خَبِيرَۢا

 

11. orang-orang “A’raab” (kaum Arab Badwi) Yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (Wahai Muhammad): “Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami”. mereka berkata Dengan lidahnya apa Yang tidak ada Dalam hatinya. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka Adakah sesiapa Yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (tidak ada sesiapapun, dan apa Yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha mendalam pengetahuannya tentang sebab ketinggalan Yang kamu lakukan itu (dan ia akan membalasnya). (al Fath)

 

 Jangan pula ahli keluarga yang menjadi penyebab kepada kemurkaan Allah kepada kita.

 

 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا

يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ

 6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan. (at Tahrim)

 

 Suami yang soleh tidak dapat menyelamatkan isteri atau ahli keluarganya yang khianat terhadap Allah dan Islam

 

 ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱمۡرَأَتَ نُوحٍ۬ وَٱمۡرَأَتَ لُوطٍ۬‌ۖ ڪَانَتَا تَحۡتَ عَبۡدَيۡنِ مِنۡ عِبَادِنَا صَـٰلِحَيۡنِ

فَخَانَتَاهُمَا فَلَمۡ يُغۡنِيَا عَنۡہُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔ۬ا وَقِيلَ ٱدۡخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّٲخِلِينَ

10. Allah mengemukakan satu misal Perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat Dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman Dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba Yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); Dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke Dalam neraka bersama-sama orang-orang Yang masuk (ke situ)”. (at Tahrim)

 

 Kita diperingatkan agar mengutamakan Allah, Rasul dan jihad pada JalanNya mengatasi kepentingan yang lain.

 

 قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ

كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ

بِأَمۡرِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ

 Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); keranaAllah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka). (at Taubah)